mutakhir

Larangan merokok tak 'pilih bulu'

Oleh Irwan Shafrizan Ismail

SEMUA pihak termasuk pemimpin politik perlu menghormati undang-undang mengenai larangan merokok di premis makanan yang sudah dikuatkuasakan di negara ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, mengikut prinsip, apabila undang-undang larangan merokok di premis makanan dikuatkuasakan ia terpakai kepada semua tanpa ada ‘pilih bulu’ dan ia perlu dipatuhi.

“Dalam hal ini, tidak kira siapa pun, pemimpin politik tertinggi mahupun rakyat jelata, semua perlu mematuhi undang-undang ditetapkan,” katanya ditemui selepas Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina peringkat kementerian di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai tular gambar Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Muhammad Zahid Md Arip sejak semalam yang menghisap rokok di sebuah premis makanan.

Gambar dipercayai dirakam di Putrajaya itu mendapat kecaman netizen berikutan Muhammad Zahid sebagai pemimpin kerajaan sepatutnya menunjukkan contoh yang baik.

Sementara itu Dr Dzulkefly berkata, beliau bersama Menteri Pengangkutan yang juga Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke mengadakan pertemuan dengan pengurusan Mawar Medical Centre (MMC) di Seremban petang semalam.

Katanya, ia susulan arahan dikeluarkan Kementerian Kesihatan baru-baru ini berkenaan penutupan operasi pusat perubatan itu selepas didapati gagal mematuhi keperluan perundangan bagi memastikan premis itu mempunyai lesen untuk beroperasi.

“Kita beri peluang untuk mereka bentangkan dan sampaikan hasrat kepada kami malah kami turut berjumpa wakil kakitangan MMC yang turut meluahkan pandangan.

“Kami memahami kesulitan yang dilalui pesakit khususnya yang mendapatkan rawatan dialisis di sini.

“Bagi memastikan kesinambungan rawatan dan keutamaan kepada pesakit, isu ini akan kita tangani segera dan terbaik, namun mereka perlu memenuhi beberapa syarat yang ditetapkan dalam Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).

“Isu berkaitan perkara ini juga sudah dibawa kepada Jabatan Peguam Negara,” katanya.

Pusat perubatan berkenaan berhadapan dengan isu pelesenan susulan peletakan jawatan semua pengamal perubatan pakar kecuali seorang pakar nefrologi yang berkhidmat di premis itu pada 5 November tahun lalu.

Disiarkan pada: February 19, 2019 @ 4:47pm
d