mutakhir

Teruskan langkahmu menimba ilmu

Oleh Zuhainy Zulkiffli

BAPA kepada tujuh anak antara 107 kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) berjaya memperoleh sijil pertama bagi Kursus Persijilan Organisasi Lestari selepas 18 tahun berkhidmat dalam perkhidmatan awam.

Menurut Penyelia Kemajuan Komuniti KEMAS, Meor Harun Meor Osman, 58, berulang alik dari Sungai Siput, Perak ke Pulau Pinang setiap minggu selama empat bulan antara cabaran dihadapinya selain tahap kesihatan isteri, Sharifah Noramiza Syed Mohamed, 55, yang tidak mengizinkan.

“Saya berulang alik lebih 300 kilometer setiap minggu demi menyambung pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM) dan menjadi satu cabaran kepada saya,” katanya.

Meor Harun berkata, hasrat mengikuti kursus itu pada mulanya tidak dipersetujui anak berikutan faktor usia dan memerlukannya memandu sendiri ke USM setiap minggu, tambahan pula dia tidak pernah menyambung pengajian sebelum ini.

“Namun akhirnya, isteri dan anak akur serta memberi sokongan kepada saya bagi menimba ilmu. Malah kini mencadangkan supaya menyambung pengajian ke peringkat ijazah memandangkan semangat belajar masih membara.

“Ilmu ini bukan bagi pengetahuan sendiri sahaja tetapi kepada komuniti dan berharap warga KEMAS lain mengambil peluang mengikuti kursus ini selaras dengan matlamat ‘pembelajaran sepanjang hayat’,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Meor Harun adalah sebahagian 107 penerima sijil kursus berkenaan yang disampaikan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R Sivarasa bersama Naib Canselor USM, Prof Datuk Dr Asma Ismail.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Operasi KEMAS, Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi dan Presiden Kesatuan Kakitangan KEMAS Semenanjung (KESATERIA), Abdullah Mohamed Shariff.

Semua penerima adalah graduan sulung kursus berkenaan yang dijalankan selama empat bulan dengan pembiayaan yuran RM200 sebulan ditanggung peserta.

Kursus itu adalah susulan perjanjian persefahaman (MoU) antara USM dan KESATERIA yang dimetrai September tahun lalu.

Disiarkan pada: February 19, 2019 @ 4:59pm
d