mutakhir

Naik elaun selepas tujuh tahun

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

KADAR elaun bertugas bagi pegawai dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan dinaikkan selewat-lewatnya tahun depan, selepas kali terakhir tujuh tahun lalu.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kementerian mencadangkan kenaikan elaun sebanyak RM2 masing-masing untuk pegawai yang ketika ini pada kadar RM7.80 sejam dan anggota, RM6 sejam.

Beliau berkata, pihaknya melihat terdapat kewajaran untuk kenaikan itu mengambil kira kos sara hidup masa kini yang semakin meningkat.

“RELA memperuntukkan RM14 juta setahun bagi elaun bertugas ini dan kementerian memohon tambahan RM10 juta lagi daripada Kementerian Kewangan untuk tujuan berkenaan.

“Saya fikir kadar itu tidak terlalu melampau dan boleh diusahakan. Malah, saya sendiri akan menghantar surat sokongan kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan berharap dapat diluluskan.

“Kalau diluluskan tahun ini pun bagus, tapi jika tak boleh disebabkan bajet sudah diluluskan maka, kita minta ia dilaksanakan tahun depan,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Sambutan Ulang Tahun RELA ke-47 Peringkat Kebangsaan 2019 di Putrajaya, hari ini.

Muhyiddin berkata, kementerian sentiasa prihatin terhadap kebajikan petugas RELA di seluruh negara dan menyambut baik saranan supaya peranan dan skop kerja RELA diperluaskan.

“Saya melihat RELA bukan sahaja sebagai organisasi sukarelawan terbesar di Malaysia, sebaliknya skop dan bidang kerjanya boleh dikaji serta dipertingkatkan.

“Bagaimanapun, ia perlu ada perbincangan lanjut kerana bagi menambahkan skop kerja, ia memerlukan latihan, sumber manusia dan peruntukan,” katanya.

Terdahulu, beliau dalam ucapannya berkata, RELA mampu menjadi pemangkin kepada aktiviti pencegahan jenayah bersama komuniti termasuk menerusi rondaan keselamatan dibuat.

Katanya, tahun lalu, jenayah indek per 100,000 penduduk Malaysia mencatatkan penurunan 11.9 peratus atau 11,949 kes kepada 88,662 kes berbanding nilai ambang yang ditetapkan iaitu 100,611 kes.

“Saya difahamkan bahawa anggota RELA berjaya melaksanakan 17,397 rondaan keselamatan secara sukarela di seluruh negara tahun lalu,” katanya.

Disiarkan pada: February 19, 2019 @ 6:02pm
d