mutakhir

Rayu DBKL kembalikan hak pengurusan tapak bazar Ramadan

Oleh Mohamad Hussin

PERSATUAN Penjaja-Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu (PPPKMWP) bersetuju cadangan tapak Bazar Ramadan dipindahkan dari Masjid India ke Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur dengan syarat urusan permohonan dipermudahkan khusus untuk ahli persatuan berkenaan.

Yang Di Pertua PPPKMWP Datuk Mohamad Abdullah berkata, pihaknya berharap kesemua tapak bazar Ramadan (tapak tradisi) yang diuruskan persatuan penjaja dikekalkan kepada mereka seperti mana tahun sebelumnya.

Beliau berkata, proses permohonan bazar Ramadan hendaklah dibuat secara manual dengan cara mengisi borang dan bukannya secara dalam talian kerana menyusahkan ahli persatuan yang kebanyakan warga emas.

“Persatuan menggesa pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak lagi meluluskan penganjuran tapak bazar Ramadan sekiranya kami berpindah ke tapak baru di Jalan TAR.

“DBKL tidak boleh membenarkan mana-mana individu, pemilik premis dan penyewa premis di sekitar kawasan Jalan Masjid India menganjurkan tapak bazar Ramadan.

“Bagi melancarkan perjalanan bazar Ramadan tahun ini, pihak kami mengemukakan empat cadangan berkenaan untuk dipertimbangkan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad,” katanya pada sidang media di hadapan pusat beli belah SOGO, hari ini.

Mohamad berkata, pada dasarnya, empat cadangan itu yang dikemukakan boleh diterima dan beliau (Khalid) berjanji akan membawa perkara ini untuk berunding dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur dalam usaha untuk mencari jalan penyelesaian terbaik.

“Namun apa yang mengecewakan kami, DBKL mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dan tidak berpandu kepada hasil laporan perbincangan antara kami dengan menteri, pada 13 Februari lalu.

“Kami kesal dengan tindakan berkenaan dan berharap pihak berkuasa mengambil langkah segera kerana Ramadan hampir tiba,” katanya.

Menurutnya, permohonan tapak bazar Ramadan bukan hanya untuk penjaja di Jalan TAR, sebaliknya semua kawasan tapak tradisi bazar di sekitar ibu kota perlu dikembalikan kepada persatuan terbabit.

Selain itu, katanya pihaknya bersetuju dengan cadangan DBKL untuk menutup Jalan TAR membabitkan laluan sepanjang satu kilometer meliputi Jalan Esfahan, hingga ke Jalan Melayu.

“Penutupan Jalan TAR sangat baik kerana memberi peluang kepada penjaja kecil berniaga dan menambah pendapatan,” katanya.

Pada 15 Februari lalu, Harian Metro menyiarkan laporan DBKL membuka permohonan dan pembayaran lesen Bazar Ramadan 2019 secara dalam talian dengan menawarkan sebanyak 4,330 petak membabitkan 57 lokasi bazar di sekitar ibu kota.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan dipetik berkata, Bazar Ramadan 2019 akan diuruskan DBKL sendiri dan tiada lagi sebarang penganjuran oleh pihak luar seperti badan bukan kerajaan (NGO), persatuan dan individu.

Berita berkaitan:

'DBKL buka permohonan lesen Bazar Ramadan esok

Disiarkan pada: February 19, 2019 @ 6:31pm
d