mutakhir

Belum muktamad tutup Jalan TAR - Khalid

Oleh Mohamad Hussin dan Suraya Roslan

“KEPUTUSAN belum muktamad lagi. Pengumuman saya buat minggu lalu hanya untuk mendapatkan respon daripada pelbagai pihak.

“Bagaimanapun, kita akan buat keputusan sebelum 15 Mac ini sama ada mengekalkan keputusan menutup laluan berkenaan atau sebaliknya,” kata Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berhubung cadangan penutupan Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) di Kuala Lumpur pada 15 Mac depan.

Beliau berkata, pihaknya belum memuktamadkan cadangan penutupan Jalan TAR kerana masih pertimbangkan cadangan dan pandangan semua pihak.

“Kami masih lagi dalam proses perbincangan dan saya turun padang meninjau Jalan TAR membabitkan Jalan Esfahan hingga ke Jalan Melayu, petang ini bagi melihat sendiri keadaan di sini.

“Selepas ini kami akan mengadakan perbincangan dengan pihak Persatuan Peruncit Jalan Batu (BARRA) untuk mendapatkan satu keputusan dimuktamadkan.

“Saya tak nak isu ini tertangguh lama dan kalau boleh diselesaikan sebelum 15 Mac ini. Saya akan umumkan keputusan dalam tempoh terdekat ini selepas mendengar pandangan semua pihak,” katanya pada sidang media selepas mengadakan Program ‘Walkabout’ di Jalan TAR, Kuala Lumpur, hari ini.

Khalid berkata, pengumuman dibuatnya minggu lalu hanya untuk mendapatkan respon daripada pelbagai pihak sama ada bersetuju menutup laluan berkenaan atau sebaliknya.

“Kami hanya nak dapatkan respon saja. Saya terpaksa membuat pengumuman dan pelbagai cadangan dan pandangan yang kami terima.

“Kami hanya mahu ambil maklumat mengenai cadangan ini. Namun hakikatnya, kami perlu melakukan perubahan dan rombakan semula bagi menggalakkan perniagaan.

“Apa yang kami inginkan adalah keadaan lebih baik untuk semua pihak dan bukannya ada kepentingan mana-mana pihak untuk nak dapat duit bagi projek ini,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan kajian dijalankan dalam talian berhubung penutupan jalan itu, kebanyakan pengguna laman sosial bersetuju dengan cadangan terbabit dilaksanakan.

Selain itu, mengenai cadangan Persatuan Penjaja-Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu (PPPKMWP) mahu menguruskan sendiri permohonan tapak bazar ramadan, beliau berkata, sekiranya persatuan terbabit dapat menawarkan kadar sewa lebih rendah daripada DBKL, beliau amat mengalu-alukan cadangan itu.

“Sekiranya kami bagi kepada persatuan tetapi mereka kenakan caj lebih tinggi pun sama juga. Apa kami buat adalah cuba memilih mereka yang kami tapis berdasarkan merit seperti ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) untuk berniaga.

“Lebih baik DBKL yang uruskan sendiri permohonan ini supaya tidak timbul isu lain,” katanya.

Disiarkan pada: February 19, 2019 @ 8:52pm
d