mutakhir

'Land swap' sebabkan kerugian lebih setengah bilion

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

LAPORAN akhir siasatan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) terhadap beberapa projek termasuk ‘land swap’ di bawah Kementerian Pertahanan mendapati berlakunya ketirisan hasil kerajaan melebihi RM500 juta.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, laporan akhir yang dipengerusikan Tan Sri Ambrin Buang itu diterima kementeriannya dan sudah dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri Rabu lalu.

Katanya, siasatan dijalankan JKSTUPKK mendapati pelaksanaan projek ‘land swap’ sebelum ini tidak dirancang dengan teliti dan pemilihan syarikat pemaju tidak dilaksanakan dengan usaha yang wajar (due diligence) secara komprehensif.

“Menerusi siasatan yang sudah dibentangkan pada 28 Januari lalu, terdapat 16 projek ‘land swap’ yang dijalankan sebelum ini membabitkan tanah seluas 1,182 hektar milik Kementerian Pertahanan yang bernilai RM4.756 bilion serta menelan kos projek RM4.886 bilion.

“Namun, berlaku ketirisan hasil kerajaan sepanjang pelaksanaan projek itu membabitkan jumlah lebih RM500 juta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad berkata, kementeriannya dimaklumkan terdapat campur tangan politik dalam pemilihan beberapa lokasi projek ‘land swap’ bagi tujuan kepentingan politik pihak tertentu.

Katanya, keadaan itu menyebabkan sebahagian projek melangkaui tempoh kontrak yang dipersetujui sebelum ini termasuk kualiti kualiti pembinaan yang tidak memuaskan.

“Sehubungan itu, saya mengarahkan pegawai untuk membuat laporan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta agensi berkaitan.

“Ia bagi menjalankan siasatan seterusnya mengambil tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.

Disiarkan pada: February 19, 2019 @ 8:53pm
d