mutakhir

Kerana minat, aku rela...

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

SUKAN maraton atau aktiviti larian kini menjadi antara kegilaan buat anak muda apabila mereka bukan saja sanggup mengeluarkan wang sendiri, malah menyertai sukan itu di luar negara untuk menimba pengalaman.

Peminat sukan itu, Mohd Shahrulanwar Jalaludin, 32, berkata pada mulanya dia menyertai maraton untuk menjaga kesihatan dan mengurangkan berat badan pada 2014.

“Lama-kelamaan, saya berasa minat dan menjadikan larian sebagai hobi serta berasa ‘ketagih’ jika tidak menyertainya.

“Kebanyakan daripada kami menganggap lebih baik ketagih ‘mileages’ (jarak larian) daripada ketagih dadah kerana tidak memalukan keluarga,” katanya yang kini berada di Hong Kong bagi menyertai Standard Chartered Hong Kong Marathon 2019.

Eksekutif sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur itu berkata, setakat ini dia sudah menyertai puluhan maraton di seluruh negara selain Maybank Bali Marathon di Indonesia pada 18 September tahun lalu.

“Saya turut menyertai Twincity Marathon di Cyberjaya, bulan lalu dan merancang menyertai lima program sama di Kuala Lumpur, Putrajaya, Perlis, Cameron Highlands dan Cyberjaya.

“Ramai dalam kalangan anak muda pada masa ini makin meminati maraton biarpun terpaksa mengeluarkan wang sendiri.

“Apa yang menggembirakan kami adalah kepuasan menamatkan larian ditambah pula hadiah menarik sebagai motivasi diri,” katanya.

Katanya, sepanjang lima tahun menyertai aktiviti itu dia sudah menamatkan 8,000 kilometer (km) larian dan mahu menambah jarak larian.

Pemegang Ijazah Sarjana Perniagaan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, pencetus semangat untuknya meminati sukan itu adalah kerana peserta maraton peramah, berkongsi pengalaman dalam penyertaan luar negara malah tidak lokek ilmu.

“Sejak awal penyertaan, saya hanya mencuba jarak 10km disusuli 21, 42 dan 50km. Ahli keluarga turut memberi sokongan.

“Maraton tidak memerlukan kos yang tinggi seperti sukan lain, sebaliknya memadai peralatan seperti kasut dan pakaian.

“Sepanjang penyertaan, tiada kejayaan besar melainkan memperbaharui rekod peribadi. Saya bukan atlet negara sebaliknya melakukan semua itu kerana minat,” katanya.

Mohd Shahrulanwar turut mengharapkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) atau syarikat swasta dapat membantu peminat sukan terbabit dan mengembangkannya ke tahap lebih luas.

Disiarkan pada: February 19, 2019 @ 11:32pm
d