mutakhir

Jalan TAR: Umum sebelum 15 Mac

Oleh Mohamad Hussin dan Suraya Roslan

KUALA LUMPUR: “Keputusan belum muktamad lagi. Pengumuman yang saya buat minggu lalu hanya untuk mendapatkan respon pelbagai pihak.

“Bagaimanapun, kita akan buat keputusan sebelum 15 Mac ini sama ada mengekalkan keputusan menutup laluan itu atau sebaliknya,” kata Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berhubung cadangan penutupan Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), di sini, pada 15 Mac depan. Beliau berkata, pihaknya belum memuktamadkan cadangan penutupan Jalan TAR kerana masih pertimbangkan cadangan dan pandangan semua pihak.

“Kita masih lagi dalam proses perbincangan dan saya sendiri turun padang meninjau Jalan TAR membabitkan Jalan Esfahan hingga ke Jalan Melayu, petang ini (semalam) bagi melihat keadaan di sini.

“Selepas ini kita akan mengadakan perbincangan dengan pihak Persatuan Peruncit Jalan Batu (BARRA) untuk mendapatkan satu keputusan yang akan dimuktamadkan.

“Saya tak nak isu ini tertangguh lama dan kalau boleh diselesaikan sebelum 15 Mac ini. Saya akan umumkan keputusan dalam tempoh terdekat selepas mendengar pandangan semua pihak,” katanya pada sidang media selepas mengadakan Program Walkabout di Jalan TAR, di sini, semalam.

Khalid berkata, pengumuman dibuat minggu lalu hanya untuk mendapatkan respon daripada pelbagai pihak sama ada bersetuju menutup laluan berkenaan atau sebaliknya.

“Kami hanya nak dapatkan respon saja. saya terpaksa membuat pengumuman dan pelbagai cadangan dan pandangan yang kami terima.

“Kita hanya mahu ambil maklumat mengenai cadangan ini. Namun hakikatnya, kita perlu melakukan perubahan dan rombakan semula bagi menggalakkan perniagaan.

“Apa yang kita inginkan keadaan yang lebih baik untuk semua pihak dan bukannya ada kepentingan mana-mana pihak untuk nak dapat duit bagi projek ini,” katanya.

Katanya, berdasarkan kajian yang dijalankan dalam talian berhubung penutupan jalan itu, kebanyakan pengguna laman sosial bersetuju dengan cadangan terbabit dilaksanakan.

Selain itu, cadangan Persatuan Penjaja-Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu (PPPKMWP) mahu menguruskan sendiri permohonan tapak bazar ramadan, beliau berkata, sekiranya persatuan terbabit dapat menawarkan kadar sewa lebih rendah daripada DBKL, beliau amat mengalu-alukan cadangan itu.

“Sekiranya kita bagi pada persatuan tetapi mereka kenakan caj lebih tinggi pun sama juga. Apa yang kita buat adalah cuba memilih mereka yang kita tapis berdasarkan merit seperti ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) untuk berniaga,

“Lebih baik DBKL yang uruskan sendiri permohonan ini supaya tidak timbul isu lain,” katanya.

Disiarkan pada: February 20, 2019 @ 10:15am
d