mutakhir

Dahlah masuk haram, bawa senapang pula!

Oleh Ibrahim Isa

BUKAN hanya menyeludup masuk sembilan lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI), sebuah tongkang ‘barter’ yang memasuki perairan Batu Pahat dekat Johor turut dikesan membawa masuk senapang angin.

Bagaimanapun, kegiatan itu berjaya dipatahkan Pasukan Polis Marin (PPM) yang meronda menerusi Ops Gelora, kira-kira 2 petang semalam.

Pegawai Pemerintah PPM Wilayah Dua Muar, Deputi Superintendan Nordin Osman berkata, anggotanya mengesan tongkang itu yang dalam perjalanan ke Sungai Batu Pahat membawa pucuk kelapa, gula melaka dan buah pinang untuk diniagakan.

“Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut dijalankan menemui sembilan PATI yang disembunyikan di bawah timbunan pucuk kelapa.

“Kami turut menemui selaras senapang angin yang disembunyikan bersama pendatang haram berkenaan.

“Tongkang barter berukuran 12.15 meter panjang dan 3.5 meter lebar itu membawa pelbagai barangan untuk diniagakan di Johor Bahru,” katanya ketika dihubungi.

Berikutan itu, beliau berkata, PPM menyita tongkang berkenaan dan merampas pasport tekong serta awak-awak dengan nilai rampasan berjumlah RM30,000.

Nordin berkata, semua 11 lelaki warga Indonesia lingkungan 30-an hingga 50-an diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 26 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM).

“Selain itu, kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen dan

Akta Senjata Api 1960,” katanya.

Disiarkan pada: February 20, 2019 @ 11:32am
d