mutakhir

Melecur cuba padam kebakaran

Oleh Shamsul Munir Safini

LELAKI melecur selepas stor simpanan barang kimia kilang plastik terbakar di Kawasan Perindustrian Permatang Tinggi, Bukit Mertajam, hari ini.

Dalam kejadian itu, bomba menerima panggilan kecemasan pada 1. 21 pagi sebelum tiba sejurus kemudian.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Mertajam, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Fauzi Suid@Shuib berkata, kebakaran membabitkan kawasan simpanan bahan kimia terbuka kilang pembuatan plastik berkeluasan 900 meter persegi.

Katanya, kebakaran memusnahkan 80 peratus bahan kimia yang disimpan di situ dan menyebabkan seorang pekerja di situ melecur ketika cuba memadamkan kebakaran.

“Kebakaran memusnahkan lebih 30 tong yang mengandungi pelbagai jenis bahan asid, antaranya Asid Nitrik, Soda Flakes, Hydrogen Peroxide, Asid Sulfurik, Interox ST-50 dan Natrium Hidroksida yang diletakkan di luar bangunan.

“Pada 3. 15 pagi operasi pemadaman dihentikan seketika kerana terdapat tindak balas bahan asid dengan air.

“Operasi pemadaman juga dipantau oleh Pasukan Hazmat agar tidak tercemar dan mendatangkan bahaya kepada anggota bomba.

“Pada 3.30 pagi kerja-kerja pengalihan bahan-bahan asid ke tempat yang lebih selamat dilakukan dengan bantuan foklif bagi memudahkan kerja-kerja memadam bara-bara api yang masih menyala,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Seberang Jaya bagi tujuan rawatan dan operasi tamat 5.33 pagi.

Disiarkan pada: February 20, 2019 @ 12:13pm
d