mutakhir

Macam di Eropah...

Oleh Noorazura Abdul Rahman

SEKALI pandang, pemandangannya seperti di Eropah, namun siapa sangka keindahan pemandangan ratusan jerami gulung itu sebenarnya hanya di Kedah dan Perlis.

Keadaan itu sekaligus menggamit perhatian orang ramai untuk berhenti mengambil gambar dan ada kanak-kanak yang tidak melepaskan peluang berlari di atas gulungan jerami terbabit tanpa mengetahui tujuan jerami itu dituai.

Pengarah Bahagian Industri Asas Tani dan Bukan Padi, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Ruslan Abdul Ghani Ahmad berkata, pemandangan itu sebenarnya dapat dilihat pada pertengahan bulan lalu selepas pihaknya mula menuai jerami bagi mengelak pembakaran terbuka.

Katanya program mengumpul jerami padi itu sudah dilaksanakan sejak 2006 dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Tahun ini musim panas lebih lama, ia menjadi tarikan apabila jerami menjadi lebih kuning dan berwarna keemasan, proses menuai dan menggulung jerami itu pula menggunakan mesin khas yang diimport dari Itali.

“Tunggul jerami perlu dipotong bagi memudahkan proses pembakaran sebelum bermula musim membajak dan menabur benih, jika tidak dipotong ia akan menyebabkan proses pembakaran tidak sempurna dan tidak terkawal sehingga menyebabkan pencemaran udara terutama semasa musim panas.

“Selain itu, pembakaran yang sempurna juga dapat membantu mengekang penyebaran benih padi angin serta makhluk perosak sekaligus dapat meningkatkan hasil petani,” katanya ketika ditemui di gudang Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sungai Limau, Yan.

Mengulas lanjut, Ruslan berkata, setiap gulung jerami dianggarkan seberat 400 hingga 500 kilogram (kg) dan pihaknya mensasarkan ia akan dituai sehingga 4, 500 tan pada musim ini dengan anggaran 12,000 gulung di seluruh Kedah dan Perlis.

Katanya, jerami terbabit akan disimpan di dalam 10 gudang kawasan PPK sebelum ia dijual kepada penternak haiwan dan pembuat kraftangan.

Katanya penjualan jerami antara RM65 hingga RM80 segulung turut membantu menambah pendapatan PPK sehingga 15 peratus sekaligus memberi pulangan menerusi koperasi ahli PPK iaitu para petani.

“Disamping itu, proses penuaian menggunakan mesin ini turut menjimatkan kos petani berikutan mereka tidak lagi perlu membayar upah memotong tunggul jerami.

“Jika tidak, petani perlu membayar RM25 kepada PPK bagi kos memotong tunggul jerami pada setiap 0.28 hektar sawah yang diusahakan,” katanya.

Disiarkan pada: February 20, 2019 @ 3:36pm
d