mutakhir

Maut tersepit mesin sarung tangan

Oleh Nur Saliawati Salberi

PEKERJA kilang warga Bangladesh maut selepas tersepit mesin membuat sarung tangan dalam kejadian di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Kelemak Alor Gajah hari ini.

Kejadian jam 6.45 pagi itu mengakibatkan mangsa, Md Al Mamun, 31, maut di lokasi kejadian.

Difahamkan, kejadian dipercayai berlaku apabila baju dipakainya tersangkut pada mesin menyebabkan dia tersepit.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan A Asmadi Abd Aziz berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat.

“Hasil soal siasat mangsa bekerja syif malam dan bersendirian di saluran yang menempatkan mesin terbabit.

“Siasatan dilakukan juga mendapati tiada unsur jenayah mahupun khianat terhadap mangsa,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menunggu laporan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kejadian dan kes disiasat sebagai mati mengejut (SDR).

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Zaidi Safuan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan 6.51 pagi sebelum sebuah jentera bersama sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah bergegas ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, sejurus tiba terdapat seorang lelaki tersepit pada mesin.

“Bagi mengeluarkan mangsa, bomba terpaksa membuka komponen mesin berkenaan dan dia sudah tidak sedarkan diri.

“Kerja menyelamat mengambil masa dua jam,” katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudian disahkan sudah meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

Disiarkan pada: February 20, 2019 @ 3:37pm
d