mutakhir

Perkhidmatan kesihatan diperluas ke sekolah agama

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyambut baik hasrat Kementerian Kesihatan untuk memperluaskan perkhidmatan kesihatan sekolah kepada sekolah agama berdaftar dengan Pihak Berkuasa Agama Negeri.

Ketua Pengarahnya Datuk Mohamad Nordin Ibrahim berkata, cadangan berkenaan dibentang oleh wakil Kementerian Kesihatan dan diterima dalam Persidangan Ketua-Ketua Jabatan Jabatan/Majlis Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia (PKJ) Kali Ke-108 yang bersidang semalam.

“Justeru, JAKIM bersedia membantu dan menjadi pemudah cara dalam pelaksanaan program ini memandangkan kesihatan adalah keperluan asas bagi membolehkan murid belajar dengan baik.

“Malah, ia dapat memberikan tumpuan yang sempurna dalam pembelajaran serta mengekalkan tahap kesihatan optimum sepanjang masa persekolahan.

“Selain itu, persidangan juga bersetuju supaya JAKIM menjadi penjaga atau pemegang taruh utama kepada program dan perkhidmatan kesihatan di sekolah agama di Malaysia,” katanya dalam kenyataan, di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad Nordin berkata, program yang bakal dilaksanakan ini akan memberi manfaat kepada 83,252 murid sekolah agama rendah dan menengah membabitkan 92 Sekolah Agama Negeri dan 135 Sekolah Agama Rakyat di seluruh negara.

“Mereka bakal menerima perkhidmatan pendidikan kesihatan, imunisasi, pemeriksaan kesihatan, rawatan dan rujukan sekiranya diperlukan mengikut tahap usia persekolahan sebagaimana diterima oleh murid yang belajar di sekolah berdaftar di bawah Kementerian Kesihatan.

“Ini adalah suatu perkhidmatan yang cukup berharga bagi murid sekolah agama,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, antara objektif utama program perkhidmatan kesihatan ini adalah memastikan sekolah yang berdaftar dengan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) atau Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) diklasifikasikan sebagai sekolah berjadual, bagi membolehkan sekolah berkenaan mendapat perkhidmatan kesihatan sekolah tanpa dikenakan caj fi.

Katanya, pada masa ini, JAKIM dimaklumkan belum ada lagi badan khusus yang menyelaras dan mengurus penyampaian perkhidmatan kesihatan untuk murid di sekolah agama.

“Ini menimbulkan kesukaran kepada Kementerian Kesihatan mengenal pasti sekolah agama berdaftar dengan MAIN dan JAIN.

“Oleh itu bagi merealisasikan hasrat murni ini, sebuah Jawatankuasa Bersama Kesihatan JAKIM, MAIN, JAIN, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan di peringkat kebangsaan dan negeri perlu ditubuhkan bagi membincangkan dengan lebih teliti berkaitan peranan pelbagai pihak yang berkenaan.

“Hasrat murni Kementerian Kesihatan ini adalah bertepatan dengan prinsip maqasid syariah iaitu memelihara nyawa (hifz an-nafs) dan memelihara akal (hifz al-aql),” katanya.

Disiarkan pada: February 20, 2019 @ 4:20pm
d