mutakhir

Guru Besar pun kaki ponteng

Oleh BERNAMA

JABATAN Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) akan menyiasat dakwaan seorang guru besar di sebuah sekolah rendah yang ponteng kerja sejak sesi sekolah dibuka awal tahun ini.

Pengarah JPNS, Mistirine Radin berkata, siasatan akan dijalankan berikutan banyak aduan diterima pihaknya termasuk dari wakil rakyat di kawasan berkenaan berkaitan ketidakhadiran guru besar itu ke sekolah.

“Jika aduan ini didapati benar, jabatan akan mengambil tindakan tegas termasuk tindakan tatatertib,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Bicara Profesional bersama Pengarah JPNS bagi Zon Pantai Timur Sabah di Tawau, hari ini.

Mistirine berkata, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di negeri ini perlu memantau dan menyiasat segera jika menerima aduan berkaitan guru tidak hadir bertugas ke sekolah.

Sementara itu, beliau memberi jaminan tiada guru di Sabah keciciran daripada kenaikan pangkat.

“Saya akan minta Pegawai PPD melihat perkara ini jika ada keciciran kenaikan pangkat, sekiranya guru ini layak untuk naik pangkat saya akan pastikan tiada keciciran,” katanya.

Terdahulu, Pada majlis itu, lebih 500 pengetua, guru besar serta penolong kanan sekolah sekitar Tawau menghadiri Program Bicara Profesional bagi mendengar taklimat mengenai Sektor Pengurusan Sekolah, Pengurusan Akademik termasuk Naratif Amalan Pendidikan.

Disiarkan pada: February 20, 2019 @ 4:47pm
d