mutakhir

Akibat terlelap, isteri dan anak parah

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

DUA parah, dua lagi cedera ringan selepas kereta dinaiki hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan di Kilometer 26.2 Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR), menghala ke Selayang, di Gombak, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, mangsa, Muhammad Haidir Tamrin, 31, bersama isteri, Hemalini Suparman, 25 dan anak mereka, Nur Zahira Maira, 3, serta Muhammad Aidil Zafran, 5, yang menaiki Proton Wira dalam perjalanan dari arah Sungai Besar menghala ke Selayang.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika pemandu dikatakan terlelap sebelum kenderaan hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan.

“Pelanggaran itu mengakibatkan isteri mangsa dan anak perempuan mangsa parah, manakala pemandu dan anak lelakinya cedera ringan.

“Tiga mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Sungai Buloh, manakala kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. Samsor berkata, kereta itu mengalami kerosakan teruk di seluruh bahagian akibat kemalangan berkenaan.

“Siasatan lanjut berhubung kejadian itu sedang dijalankan mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Disiarkan pada: February 20, 2019 @ 5:18pm
d