mutakhir

Sahkan dulu balak sebelum bawa keluar

Oleh Mohd Roji Kawi

CUBAAN seorang pemandu lori membawa keluar sejumlah kayu balak bergergaji dikenali kayu batak secara haram, gagal apabila dikesan penguat kuasa Jabatan Hutan Sarawak (JHS).

Treler membawa 40 balak pelbagai saiz dan spesis itu dipercayai dari kawasan hutan berdekatan Serian, ditahan di Jambatan Batang Sadong pada 4.25 petang semalam.

Jurucakap JHS berkata, ketika pemeriksaan dijalankan, pemandu lori itu gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan muatan yang dibawanya.

“Pemeriksaan lanjut mendapati semua kayu batak yang dibawanya tidak mempunyai sebarang tanda JHS dan ia adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 95 (1), Ordinan Hutan Sarawak 2015.

“Kayu batak itu yang dianggarkan bernilai RM20,000 dirampas dan dibawa di Pejabat Hutan Wilayah Kuching untuk tindakan lanjut,” katanya, hari ini.

Beliau berkata, rampasan itu adalah yang kelima setakat ini dengan kejayaan awal bulan lalu apabila JHS merampas 1,321 kayu bakau di Pangkalan Ulu Sungai Daun, Kampung Salak.

“Satu lagi kejayaan apabila kita tahan sebuah lori sarat muatan 107 kayu batak pada Isnin lalu,” katanya.

Disiarkan pada: February 20, 2019 @ 6:08pm
d