mutakhir

Ku sanggup demi nak 'stone' [METROTV]

Oleh Zuliaty Zulkiffli

WANITA sanggup berulang-alik sejauh satu kilometer (km) setiap hari dengan menaiki motosikal bersama teman lelaki dari rumahnya di Bukit Jenun ke Port Loji di Ladang Kelapa Sawit, Pendang, untuk menagih dadah.

Namun, kegiatan wanita berusia 24 tahun itu terbongkar apabila dia dicekup polis bersama teman lelakinya itu yang berusia 39 tahun serta 21 lagi lelaki yang disyaki penagih yang menjadikan kawasan itu sebagai port dadah.

Kawasan itu diserbu polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pendang dalam Ops Tapis Bersepadu dalam kebun kelapa sawit yang bermula jam 6 pagi hingga 2 petang.

Wanita itu turut dikehendaki AADK Pendang sejak lebih setahun lalu kerana tidak menghadirkan diri selepas dijamin oleh pegawai AADK ketika ditahan kerana menagih dadah pada tahun 2017.

Dia yang bekerja sebagai tukang cuci dari rumah ke rumah dengan upah RM30 sehari dan wang itu digunakannya untuk membeli dadah dua kali sehari iaitu heroin dan morfin, malah mengakui menagih dadah sejak dua tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, port itu dipercayai beroperasi sejak lebih sebulan lalu dan menjadi tempat tokan menghantar stok dadah kepada penagih.

Beliau berkata, dalam operasi itu, seramai 23 orang disyaki penagih dadah berusia 24 hingga 49 tahun ditahan ketika sedang melepaskan gian menagih dadah di situ pada waktu awal pagi.

Kebanyakan penagih yang ditahan berasal dari daerah ini malah ada yang berasal dari Sedaka di Yan dan Langkawi.

“Kesemua mereka kemudian dibawa ke IPD Pendang untuk tindakan lanjut dan enam daripada mereka diserahkan kepada pihak kami untuk tindakan lanjut manakala 17 lagi termasuk wanita itu diserahkan kepada AADK Pendang.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1) (a) ADB 1952 kerana disyaki penagih Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya.

Arriz Sham berkata, port itu biasanya menjadi tumpuan penagih dadah sekitar jam 10 atau 11 pagi.

Katanya, tokan akan menghantar bekalan melalui individu sebelum dihantar kepada penagih untuk diagihkan kepada penagih lain.

“Hasil ujian saringan awal air kencing terhadap mereka mendapati, kesemua mereka positif dadah jenis morfin,” katanya.

Disiarkan pada: February 20, 2019 @ 6:47pm
d