mutakhir

Peguam ditahan, gubah RM15 juta wang haram

Oleh BERNAMA

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan seorang peguam bergelar Datuk yang dipercayai terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM15 juta.

Menurut sumber SPRM, lelaki berusia 47 tahun itu ditahan jam 4.25 petang di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya selepas hadir untuk memberi keterangan.

Menurutnya, peguam berkenaan dipercayai menerima wang berkenaan daripada akaun bank seorang individu iaitu hasil aktiviti haram membabitkan beberapa keping cek berjumlah RM15 juta ke dalam firma guamannya antara 2014 hingga 2015.

“Individu itu dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok,” katanya.

Dia akan menghadapi dua pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan peguam itu.

Disiarkan pada: February 20, 2019 @ 6:53pm
d