mutakhir

Maklumat dalam VSP penting

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

POLIS akan meneliti semua maklumat disalurkan orang ramai dalam aplikasi Sistem Volunteer Smartphone Patrol (VSP) bagi membolehkan tindakan terutama dalam aspek pencegahan jenayah dapat diambil.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, beliau sendiri turut meneliti maklumat yang diterima dalam aplikasi berkenaan agar tindakan susulan dapat diambil khususnya membabitkan maklumat kegiatan jenayah yang memerlukan tindakan pantas polis.

“Maklumat disalurkan orang ramai menerusi VSP penting kepada polis kerana ia membolehkan siasatan serta tindakan pantas diambil.

“Ini kerana ada antaranya bukan saja membabitkan kejadian jenayah yang berlaku sebaliknya maklumat kemungkinan wujudnya kegiatan kumpulan jenayah yang perlu dibanteras,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Kepolisan Berprofil Tinggi di Plaza Low Yat, Kuala Lumpur hari ini.

Mazlan berkata, orang ramai diminta memanfaatkan aplikasi berkenaan bagi membantu polis mengurangkan indeks jenayah di ibu negara.

Katanya, orang ramai diharap tidak mengambil sikap ambil gambar dulu sebaliknya perlu terus melapor kepada polis kejadian jenayah yang dilihat.

“Dengan maklumat disalurkan, memudahkan polis untuk bertindak dan terus ke lokasi dalam tempoh kurang 15 minit,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai indeks jenayah di Plaza Low Yat, beliau berkata, ia mencatatkan penurunan 24 peratus dengan 19 kes pada 2018 berbanding 25 kes pada 2017.

Disiarkan pada: February 20, 2019 @ 8:41pm
d