mutakhir

PRK Semenyih: 19 laporan polis diterima

Oleh BERNAMA

SEBANYAK 19 laporan polis diterima dan tiga kertas siasatan dibuka sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih sejak Sabtu lalu hingga 5 petang ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Superintendan Mohd Sabri Abdullah berkata, satu daripada kertas siasatan itu membabitkan kesalahan di bawah Akta Pilihan Raya 1954 iaitu memberi ceramah tanpa permit.

Beliau berkata, sebanyak 51 permit kempen politik dikeluarkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang sejak hari penamaan calon hingga semalam.

“Ia merangkumi 32 permit bagi Pakatan Harapan (PH), 15 bagi Barisan Nasional (BN) dan empat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

“Sehingga kini keadaan keselamatan di seluruh kawasan DUN Semenyih adalah terkawal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru, polis menasihatkan parti yang terbabit mematuhi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 sepanjang PRK itu, selain mengingatkan mereka supaya membuat permohonan permit bagi tujuan berkempen.

PRK DUN Semenyih yang akan diadakan pada 2 Mac menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Muhammad Aiman Zainali (PH); Zakaria Hanafi (BN); calon bebas Kuan Chee Heng dan Nik Aziz Afiq Abdul (PSM).

Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor dari Bersatu yang mewakili PH pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Semenyih
  • Disiarkan pada: February 20, 2019 @ 8:52pm
    d