mutakhir

'Kami tak tolak pembaharuan'

Oleh Mohamad Hussin

“KAMI bukannya menolak pembaharuan tetapi biarlah dibuat secara berperingkat bukannya secara drastik,” kata Timbalan Yang Dipertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan (PPPKMWP), Ahmad Selamat, 53.

Ini kerana, katanya, kebanyakan peniaga sudah membuat tempahan kelengkapan hari raya sejak enam bulan lalu untuk jualan bazar Ramadan tahun ini.

“Walaupun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tetap dengan keputusan melaksanakan permohonan secara dalam talian, biarlah ia dilaksanakan di tapak bazar Ramadan yang dikelolakan DBKL selain tapak bazar baharu,” katanya.

Beliau berkata, langkah DBKL melaksanakan permohonan dan pembayaran lesen Bazar Ramadan 2019 secara dalam talian menyebabkan peniaga terpaksa menanggung kerugian.

“Kami minta DBKL bertolak ansur dalam hal ini kerana kebanyakan peniaga yang juga ahli persatuan yang bertahun-tahun berniaga di bazar Ramadan sudah membuat persiapan awal.

“Mereka tidak menyangka pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan akan melaksanakan permohonan dan pembayaran lesen Bazar Ramadan 2019 secara dalam talian, mulai 15 Februari lalu.

“PPPKMWP berharap semua tapak bazar Ramadan (tapak tradisi) yang diuruskan persatuan penjaja dikekalkan kepada mereka seperti mana tahun sebelumnya,” katanya.

Ahmad berkata, pihaknya mempunyai 10 cawangan PPPKMWP membabitkan 60,000 ahli.

“Sekiranya DBKL mahu melaksanakan permohonan secara dalam talian, ia perlu dilaksanakan di enam lokasi tapak bazar Ramadan di sekitar ibu kota yang diuruskan sendiri DBKL sebelum ini, selain tapak bazar baharu.

“Bukannya ‘merampas’ semua tapak bazar yang diuruskan persatuan penjaja sebelum ini. Kami bukan mahu menimbulkan kekecohan sebaliknya mahu membantu peniaga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menjana pendapatan di musim perayaan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan kadar sewa tapak bazar Ramadan dikenakan persatuan amat tinggi dan tidak munasabah.

“Saya ingin menjelaskan kadar sewa dikenakan antara RM350 hingga RM600 bergantung kepada lokasi.

“Bayaran itu tidak termasuk kelengkapan khemah kerana ia perlu dibawa sendiri peniaga terbabit,” katanya.

Pada 14 Februari lalu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan dipetik berkata, sebanyak 4,330 petak membabitkan 57 lokasi Bazar Ramadan 2019 ditawarkan kepada peniaga menerusi permohonan dan pembayaran secara dalam talian.

Katanya, Bazar Ramadan 2019 akan diuruskan sendiri DBKL dan tiada lagi sebarang penganjuran oleh pihak luar seperti badan bukan kerajaan (NGO), persatuan dan individu.

Disiarkan pada: February 20, 2019 @ 11:26pm
d