mutakhir

Angkat bakat OKU

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia bercadang memperkenalkan Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri untuk orang kurang upaya (OKU) bermula tahun depan bagi mengangkat bakat OKU dalam bidang kemahiran.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mahfuz Omar berkata, sebelum ini Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri hanya diberikan kepada individu yang memenangi pertandingan kemahiran di luar negara, tetapi bukan dalam kalangan OKU.

Katanya, anugerah berkenaan adalah pengiktirafan tertinggi dalam bidang kemahiran bagi mengiktiraf tenaga mahir yang menunjukkan kecemerlangan dalam bidang masing-masing.

“Secara dasarnya kita bersetuju untuk melaksanakan anugerah berkenaan, namun akan membuat perbincangan lanjut kerana pertandingan kemahiran untuk OKU sedikit berbeza dengan pertandingan lain.

“Sebagai contoh Pertandingan Kemahiran Abilympics Antarabangsa (untuk OKU) diadakan empat tahun sekali, manakala Pertandingan Kemahiran Dunia pula diadakan setiap tahun,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Pertandingan Kemahiran Malaysia (MPKM) di sini, semalam.

Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri adalah anugerah tertinggi dalam pertandingan kemahiran yang mula diperkenalkan pada 1991.

Tambah Mahfuz, penganugerahan kepada OKU itu secara tidak langsung dapat mempromosikan latihan kemahiran kepada golongan berkenaan seterusnya memberi peluang kepada mereka untuk membabitkan diri dalam bidang pekerjaan yang diminati.

“Ia juga dapat meningkatkan kebolehpasaran golongan OKU serta mengurangkan kadar pengangguran,” katanya.

Sementara itu, Mahfuz berkata, pihaknya kini sedang giat melaksanakan pelbagai program untuk menyertai Pertandingan Kemahiran Dunia di Kazan, Russia dan menyasarkan untuk membawa pulang emas pertama dalam pertandingan berkenaan.

“Kita akan menghantar 20 pelajar dan 23 pakar bagi menyertai pertandingan itu nanti.

“Peserta didedahkan dengan beberapa pertandingan peringkat antarabangsa seperti di Melbourne dan China sebelum menghadapi pertandingan di peringkat dunia yang berlangsung pada Ogos ini,” katanya.

Disiarkan pada: February 21, 2019 @ 8:02am
d