mutakhir

Pegawai Baitulmal direman salahguna kuasa [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

PEGAWAI Baitulmal direman lima hari bagi membantu siasatan kes melantik sebuah syarikat bagi kerja pembekalan cenderahati asnaf berjumlah RM20,865 kira-kira dua tahun lalu.

Perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Khas Reman Nur Haryatie Mohd Saini bermula hari ini sehingga 25 Februari.

Permohonan reman itu dibuat oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Khairi Abdul Karim bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 kerana menyalahgunakan kuasa untuk suapan.

Suspek turut diwakili peguam peguam A Kriyshanaa.

Semalam, lelaki berusia 33 tahun terbabit ditahan pegawai SPRM selepas dipanggil memberi keterangan di Pejabat SPRM Seremban pada jam 3.30 petang.

Lelaki itu yang sebelum ini bertugas di Baitulmal Kuala Pilah dipercayai menggunakan kedudukannya dengan mencadangkan dan mengesahkan permohonan bagi melantik sebuah syarikat dalam kerja pembekalan cenderahati asnaf.

Suspek dipercayai mempunyai kepentingan peribadi dalam kerja pembekalan itu yang mana sebenarnya kerja dijalankan sendiri olehnya menggunakan nama syarikat berkenaan.

Disiarkan pada: February 21, 2019 @ 11:34am
d