mutakhir

Rezeki musim panas

Oleh BERNAMA

BAGAI mendapat ‘durian runtuh’, peniaga cendol dan air minuman di sekitar Melaka menerima lebih ramai pelanggan ekoran musim panas melanda negara ketika ini, berbanding hari biasa.

Peniaga cendol dan rojak di Ayer Keroh, Muhamad Azrul Das Abdullah, 45, berkata jualan cendolnya meningkat sekali ganda berbanding hari biasa kepada lebih 100 bungkus, sekali gus membantunya menambah pendapatan.

Ekoran jumlah pelanggan yang meningkat, Muhamad Azrul mengambil peluang memperkenalkan beberapa menu baharu seperti cendol aiskrim, cendol tapai, cendol jagung dan cendol durian.

“Jumlah pelanggan adalah tidak menentu, bergantung kepada musim dan masa tetapi sejak cuaca panas dan kemarau melanda Melaka, jumlah pelanggan semakin bertambah,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Bapa kepada dua anak itu berkata, dia memulakan perniagaan 20 tahun lalu bermodalkan wang pampasan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) dari kilang tempatnya bekerja.

Peniaga gerai minuman dan makanan ringan di Jalan Ayer Keroh Lama, Adzhar Azhar, 42, mengakui jumlah pelanggan yang singgah di gerainya bertambah sejak musim panas ini.

“Dalam sehari, saya boleh jual 60 hingga 80 bungkus plastik air minuman berbanding hanya sekitar 40 bungkus pada hari biasa,” katanya.

Selain menjual pelbagai minuman seperti sirap, oren dan jagung, Azhar turut menjual cendol resepi sendiri.

Seorang pelanggan, Noor Zalina Ahmad, 34, berkata cuaca panas membuatkannya lebih gemar membeli makanan dan minuman bungkus untuk dibawa ke tempat kerja berbanding makan dan minum di kedai.

“Selalunya saya kurang minum air sejuk tetapi cuaca panas menyebabkan saya lebih gemar minuman berais untuk menghilangkan dahaga,” katanya.

Disiarkan pada: February 21, 2019 @ 4:15pm
d