mutakhir

[UPDATE] 'Saya sudah maafkan rakan' [METROTV]

Oleh Hadzlihady Hassan

“WALAUPUN kejadian itu menyebabkan anak maut, namun saya serta suami tetap maafkan rakan dan tiada langsung perasaan dendam dalam diri,” kata Nur Daliia Yusoff, 28.

Dia ibu kepada Annur Sumayyah Syabandi berusia tiga tahun yang meninggal dunia selepas dirempuh kereta di Rumah Transit Uda, Tanjong Tokong, Georgetown semalam.

Menurut Nur Daliia, dia menganggap kejadian yang menimpa mereka sekeluarga itu sebagai percaturan dan ketentuan Allah SWT.

“Kereta itu dipandu rakan baik saya yang dikenali sejak tujuh tahun lalu ketika kami sama-sama bekerja di sebuah pasar raya di sini.

“Namun saya terpaksa berhenti kerja kerana mengikut suami yang bertugas di Kuching, Sarawak sebelum ini bagaimanapun persahabatan kami tidak pernah terputus,” katanya.

Menurutnya, rakannya itu datang dan bermalam di rumahnya kelmarin dan ketika kejadian rakannya menghidupkan enjin kereta kerana mahu pergi ke tempat kerjanya.

“Bagaimanapun, rakan dikatakan tertekan pedal minyak yang menyebabkan kereta Proton Saga miliknya mengundur sebelum merempuh anak saya.

“Rakan yang terkejut dengan kejadian itu terus turun dari keretanya dan berulang kali meminta maaf kepada saya sambil menangis,” katanya.

Menurutnya, dia dan suami, Syabandi Samsudin, 29, dari awal sudah memaafkan rakannya itu dan mereka berdua langsung tidak menyimpan dendam kepadanya.

“Apa yang saya tahu kini rakan ditahan buat sementara waktu untuk diambil keterangan dan saya juga enggan mengganggunya kerana mungkin dia masih trauma dengan kejadian itu.

“Namun, ahli keluarga rakan ada menghubungi saya dan mereka turut meminta maaf atas kejadian itu dan saya menganggap semua itu adalah takdir yang sudah ditentukan Tuhan,” katanya.

Dalam kejadian jam 1.40 tengah hari semalam, Annur Sumayyah meninggal dunia selepas dirempuh kereta dipandu rakan ibunya sendiri.

Ketika kejadian, wanita berusia 35 tahun dan berasal dari Sik, Kedah itu dikatakan tertekan pedal minyak keretanya hingga menyebabkan kenderaan terbabit mengundur dan merempuh mangsa yang kemudian tercampak di jalan.

Kereta terbabit kemudian terbabas dan masuk ke rumah jiran.

Berita berkaitan

Budak mati terhimpit

Disiarkan pada: February 21, 2019 @ 4:36pm
d