mutakhir

Geng Auto Macai tumpas

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

KUMPULAN penjenayah “Geng Auto Macai” yang aktif melakukan samun bersenjata sekitar Lembah Klang sejak awal tahun ini tumpas selepas dicekup Unit Jenayah Berat (D9) Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.

Dalam serbuan berasingan di empat lokasi di Seri Kembangan, Kepong, Cheras dan Setapak antara 5 hingga 8 Februari lalu, lapan ahli kumpulan termasuk ketuanya yang berusia antara 32 hingga 48 tahun ditahan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, kumpulan berkenaan yang bersenjatakan parang terbabit dalam 21 kes jenayah di sekitar Selangor dan ibu negara.

Katanya, modus operandi kumpulan itu adalah mencuri kenderaan jenis van serta pacuan empat roda yang kemudian digunakan bagi mengangkut barang hasil samun di kedai runcit, kedai perkakasan dan bengkel membaiki kenderaan.

“Kenderaan yang dicuri itu kemudian ditinggalkan terbiar sebaik mereka berhasil melakukan kejadian samun.

“Kesemua barangan yang disamun seperti arak, peralatan serta alat ganti kenderaan kemudian dijual di kedai barangan lusuh serta kenalan rapat,” katanya pada sidang media di IPD Gombak, hari ini.

Samsor berkata, berdasarkan rekod, Geng Auto Macai berkenaan terbabit dalam lapan kes jenayah sekitar Gombak, Serdang (tiga kes); Petaling Jaya (dua kes); Wangsa Maju (dua kes) dan masing-masing satu kes di Sungai Buloh, Subang Jaya, Sentul dan Dang Wangi.

Katanya, enam daripada lapan ahli kumpulan itu didapati mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau termasuk berkaitan dadah.

“Dalam serbuan di empat lokasi itu, polis berjaya menemui semula tujuh van jenis Nissan Vanette serta dua pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton dan Ford Ranger yang dicuri kumpulan itu.

“Malah polis turut merampas tiga kereta iaitu sebuah BMW milik ahli kumpulan yang turut digunakan dalam kejadian samun; sebuah Nissan Almera dan Proton Iswara selain peralatan untuk memecah masuk serta barang samun,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan (KK) kerana melakukan samun berkumpulan bersenjata, Seksyen 457 KK kerana melakukan pecah rumah/kedai dan Seksyen 379A kerana mencuri kenderaan.

Katanya, kesemua suspek direman sehingga esok dan polis akan memohon perintah reman lanjutan bagi membolehkan siasatan pembabitan jenayah geng itu dilengkapkan.

“Dengan tertangkapnya semua suspek itu, polis percaya dapat menyelesaikan bukan saja kes samun bersenjata di sekitar Lembah Klang, sebaliknya beberapa kes kecurian kenderaan sejak awal tahun ini,” katanya.

Disiarkan pada: February 21, 2019 @ 5:50pm
d