mutakhir

Cuba larikan balak RM207,000

Oleh Mohd Rafi Mamat

INTIPAN selama dua minggu di kawasan Hutan Simpan Berkelah, dekat Temerloh oleh penguat kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) berhasil apabila berjaya mematahkan cubaan memindahkan pelbagai jenis balak dianggarkan RM207,000 kelmarin.

Pengarah JPNP, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, selain berjaya merampas kayu balak itu, pihaknya turut memberkas lima individu termasuk dua lelaki warga asing berusia antara 20 hingga 50 tahun dalam operasi berkenaan.

“Kita turut merampas sebuah jengkaut, jentolak dan kenderaan pacuan empat roda dalam operasi itu yang disertai 20 anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Pahang Barat dan UTK Pejabat Hutan Daerah Temerloh.

“Kita tidak menolak kemungkinan kegiatan kumpulan ini dilakukan secara terancang dan kebanyakan tunggul pokok kayu balak antaranya dari spesies Balau, Meranti Rambai dan Keruing ditemui dalam operasi itu.

“Sindiket berkenaan mempunyai kepakaran melakukan kegiatan menebang dan memindahkan balak secara haram, mereka bergerak dalam satu kumpulan dengan menggunakan jentera lengkap bagi memudahkan setiap aktiviti,” katanya ditemui hari ini.

Mohd Hizamri berkata, pihaknya juga difahamkan sindiket itu menggunakan khidmat pemberi maklumat atau tonto yang berada di beberapa lokasi untuk memerhatikan pergerakan penguat kuasa.

Katanya, siasatan juga mendapati sindiket berkenaan hanya memindahkan balak bersaiz 5.6 meter panjang dan dijual kepada kilang papan luar negeri itu.

Disiarkan pada: February 21, 2019 @ 6:37pm
d