mutakhir

UKMRC2, UKMRC8 tingkatkan hasil padi

Oleh Noorazura Abdul Rahman

KERAJAAN mensasarkan peningkatan hasil padi sehingga sekali ganda selepas menggunakan benih padi varieti baharu UKMRC2 dan UKMRC8 secara berperingkat bermula musim pertama 1/2019 bulan hadapan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, untuk permulaan 8,000 hektar sawah akan menggunakan benih berkenaan hasil kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI).

Katanya, benih baru hasil kajian selama 17 tahun itu mempunyai kemampuan dan peningkatan ciri seperti ketahanan kepada banjir, penyakit dan serangan perosak tanaman sekali gus meningkatkan hasil.

“Hasil yang petani kita perolehi sekarang secara purata antara empat hingga lima matrik tan sehektar dan jika benih ini digunakan ia mampu meningkatkan hasil sehingga tujuh ke lapan matrik tan sehektar.

“Apa yang penting petani kini mempunyai pilihan untuk menggunakan benih yang lebih baik, untuk permulaan benih yang ada cukup untuk ditanam ke 8,000 hektar sawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA),” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pengisytiharan Varieti Baharu UKMRC-2 di Perkarangan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA G-1 di Guar Chempedak, Yan hari ini.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, dua varieti itu dihasilkan melalui pendebungaan terkawal daripada spesis padi liar ‘oryza rufipogondan’ dan benih tempatan iaitu variete mega MR219.

Katanya, benih padi UKMRD-2 dan UKMRC-8 mendapat permintaan tinggi daripada petani seluruh negara namun ia terhad berikutan MADACorp adalah pengeluar tunggal.

Mengenai harga, Salahuddin berkata, walaupun ia dikeluarkan universiti, kadarnya akan dikawal oleh kementerian.

“Yang penting kalau dapat teruskan penggunaan benih itu dalam beberapa tahun lagi, ia akan tingkat tahap sara diri (ss) negara yang ketika ini hanya 70 peratus.

“Inisiatif ini strategi yang kita nantikan selama ini untuk tingkatkan hasil dan pendapatan petani kerana kita masih perlu mengimport 30 peratus beras dari luar,” katanya.

Disiarkan pada: February 21, 2019 @ 6:56pm
d