mutakhir

Dua beranak dipercayai tidur dalam kereta

Oleh Rosli Ilham

DUA beranak termasuk kanak-kanak berusia 6 tahun yang ditemui tidak sedarkan diri di parkir kereta perkarangan Hospital Kemaman, semalam dilaporkan masih kritikal.

Ketika ini, kanak-kanak berkenaan, Putera Rafiudin Haikal dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) kanak-kanak di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, manakala bapanya, Mohd Amiroshelmi Jusoh, 30, masih dirawat di ICU Hospital Kemaman.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Mohd Jusoh berkata, dua beranak terbabit sudah menjalani pemeriksaan melalui imbasan tomografi berkomputer (CT scan).

“Selepas menjalani ujian itu, dua mangsa mengalami bengkak otak menyebabkan Putera Rafiudin terpaksa dihantar ke HSNZ untuk menjalani rawatan kerana ketiadaan kemudahan wad ICU untuk kanak-kanak di Hospital Kemaman.

“Keadaan semasa dua pesakit terbabit masih lagi kritikal tetapi stabil,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini hari ini.

Dr Mohd berkata, pihaknya sedang meneruskan rawatan yang terbaik kepada dua mangsa.

“Dua mangsa dipercayai tidur di dalam kereta kerana menunggu seorang lagi anak Mohd Amiroshelmi yang ditahan di wad kanak-kanak Hospital Kemaman kerana masalah cirit birit yang ditemani ibunya, ” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 12.45 tengah hari semalam, dua beranak itu ditemui tidak sedarkan diri di dalam kereta Proton Gen 2 oleh rakan Mohd Amiroshelmi, Mohd Hazmin Jusoh, 33.

Mohd Hazmin bertindak memecahkan cermin kereta berkenaan selepas dua beranak itu tidak memberikan sebarang tindak balas.

Sebaik berjaya memecahkan cermin tingkap, Mohd Hazmin mendukung Putera Rafiudin dan membawanya ke unit kecemasan manakala Mohd Amirohelmi yang dikeluarkan kakitangan hospital dibawa ke unit kecemasan sama untuk rawatan.

Berita berkaitan:

  • 2 beranak kritikal lemas dalam kereta
  • Disiarkan pada: February 21, 2019 @ 7:36pm
    d