mutakhir

Dua bot nelayan Vietnam ditahan

Oleh Zaid Salim

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua bot nelayan Vietnam yang disyaki menangkap ikan secara haram di perairan negara dengan rampasan dianggarkan bernilai hampir RM1.2 juta.

Dua bot nelayan itu ditahan kapal APMM yang melakukan rondaan Ops Iman ketika mereka asyik memukat ikan di dua lokasi berbeza pada jarak 24 dan 35 batu nautika dari muara Kuala Terengganu semalam.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, mereka bertindak memotong tali pukat dan cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa, namun gagal.

“Dalam tangkapan pertama pada 1.55 tengah hari, kita menahan lima lelaki manakala empat lagi lelaki yang berada di dalam bot kedua ditahan kira-kira 3.10 petang.

“Pemeriksaan mendapati semua nelayan yang berusia antara 23 hingga 39 tahun itu tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan permit menangkap ikan.

“Malah, pemeriksaan juga mendapati dua bot berkenaan melanggar syarat lesen dan disyaki menggunakan nombor pendaftaran tempatan,” katanya pada sidang media di Pejabat APMM Daerah Maritim 9 (DM9), Kuala Terengganu, hari ini.

Muhammad Sufi berkata, rampasan dianggarkan bernilai hampir RM 1.2 juta termasuk hasil tangkapan laut, minyak diesel, bot dan peralatan menangkap ikan.

Katanya, dua bot dan semua yang ditahan dibawa ke jeti APMM Terengganu untuk siasatan lanjut mengikut Akta Perikanan 1985 kerana disyaki memalsukan dokumen bot dan melanggar syarat lesen.

“Kita tidak akan berkompromi dengan nelayan asing yang sewenang-wenangnya menceroboh perairan negara bagi mengaut hasil laut dengan mempertingkatkan rondaan dan pemantauan untuk mencegah sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang maritim,” katanya.

Katanya, kerjasama masyarakat, terutama nelayan tempatan diperlukan bagi melaporkan salah laku di perairan negara ke talian MERS 999 atau 09-6224357 (Pusat Operasi) Maritim Negeri Terengganu untuk mengekang kemasukan nelayan asing.

Disiarkan pada: February 21, 2019 @ 7:54pm
d