mutakhir

Tuanku mahu jurugambar 'Mowgli Malaysia' diiktiraf

Oleh Fitri Nizam

POTRET bidikan jurugambar, Abdullah Deen Mohd Zain berlatarbelakangkan persahabatan antara manusia dan haiwan yang tular di media sosial mendapat perhatian Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, baginda mahu pengiktirafan diberikan kepada Abdullah Deen yang juga antara jurugambar terawal mengambil gambar ‘Mowgli Malaysia’, Mohd Syukur Khamis, 14, sehingga meraih pelbagai anugerah fotografi dalam dan luar negara.

“Ketika menyembah menghadap Sultan Terengganu di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu, pagi ini, baginda bertitah jurugambar itu mesti diberikan pengiktirafan.

“Tuanku berbangga,” katanya kepada hadirin ketika menyampaikan Penghargaan Perdana-Karyawan Lensa Budaya kepada Abdullah Deen dalam majlis Temu Mesra Warga PKR Terengganu di Kuala Terengganu. hari ini.

Mohd Syukur yang turut dikenali sebagai Kampung Boy turut menerima anugerah pada majlis itu berupa wang tunai RM1,000 dan plak.

Pada majlis sama, Dr Wan Azizah turut menyampaikan penghargaan kepada waris Allahyarham Abdul Bari Asyraf Mohd, Mohd Mustafa dan dua lagi penyelamat dalam kejadian lemas di muara Sungai Terengganu di Pulau Warisan, baru-baru ini.

Mereka adalah Mohammad Asadullah Jamaluddin, 28, dan Shahrul Mizan Harun, 34.

Disiarkan pada: February 21, 2019 @ 8:19pm
d