mutakhir

Pekerja asing masuk kuliah?

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

KEMENTERIAN Sumber Manusia bercadang menetapkan syarat kepada rakyat tempatan termasuk warga asing yang ingin bekerja dalam bidang kemahiran di negara ini perlu memiliki Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) terlebih dahulu.

Timbalan Menterinya, Datuk Mahfuz Omar berkata, cadangan berkenaan dibuat selepas mencapai kata sepakat dalam mesyuarat Pembangunan Kemahiran yang diadakan, baru-baru ini, dan akan dilaksanakan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) sebagai persediaan untuk lima tahun akan datang.

Katanya, warga asing khususnya yang mahu bekerja perlu mempunyai SKM dari negara ini, bukannya menggunakan sijil kemahiran dari negara lain.

“Kita mahu semua industri di negara ini mempunyai persediaan dan persiapan lebih awal bagi melahirkan tenaga kerja mahir.

“Dengan cara ini, barulah anak tempatan mendapat pasaran kerja lebih besar memandangkan majoriti yang memiliki SKM sudah tentunya rakyat Malaysia.

“Saya yakin industri yang ada dalam negara kita memerlukan pekerja yang mahir dan boleh memberikan hasil keluaran terbaik kepada industri di tempat mereka bekerja,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kota Bharu, hari ini.

Turut hadir, Pengarah ILP Kota Bharu, Zainudin Ahmad.

Dalam perkembangan lain, Mahfuz berkata, pelajar dalam bidang Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) juga perlu meningkatkan hubungan dengan pihak industri sebagai persediaan di masa hadapan.

“Mereka harus mempersiapkan diri dengan hasil kemahiran yang ada untuk dibawa ke dunia luar dan dimanfaatkan masyarakat.

“Kita juga mahu pelatih melihat bidang kemahiran ini bukan hanya untuk mendapatkan kerja, sebaliknya perlu ditanam dalam pemikiran mereka sebagai ilmu yang perlu dimanfaatkan," katanya.

Beliau berkata, sehingga hari ini, sebanyak 94 peratus kebolehpasaran kerja penuntut ILP selepas enam bulan menamatkan latihan.

Disiarkan pada: February 21, 2019 @ 8:35pm
d