mutakhir

Jadual KTM Komuter berubah berperingkat

Oleh BERNAMA

PERKHIDMATAN KTM Komuter laluan Pulau Sebang- KL Sentral- Batu Caves akan mengalami perubahan jadual secara berperingkat bagi kerja penyelenggaraan landasan.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kenyataan hari ini berkata, perubahan jadual itu bagi membolehkan kerja penyelenggaraan dan membaik pulih landasan di antara sektor Simpang Pelabuhan Klang dan Salak Selatan dijalankan.

“Pada peringkat pertama, sejumlah 33 daripada 73 perkhidmatan tren komuter akan mengalami perubahan jadual bermula 22 sehingga 24 Februari, bagaimanapun tiada perubahan bagi 18 perkhidmatan tren shuttle Batu Caves - Sentul - Batu Caves.

“Penyelenggaraan peringkat kedua akan bermula 1 hingga 3 Mac membabitkan 22 perkhidmatan tren komuter yang bermula dan tamat di Stesen Kajang.

“Penumpang boleh menyambung perjalanan ke destinasi seterusnya menggunakan pengangkutan alternatif seperti MRT yang berintegrasi di Stesen Kajang,” katanya.

Katanya, turut mengalami perubahan jadual ialah 18 perkhidmatan tren shuttle Batu Caves - Sentul - Batu Caves.

Kenyataan itu menjelaskan penyelenggaraan peringkat terakhir terbahagi kepada dua fasa iaitu 8 hingga 10 Mac dan 15 hingga 17 Mac membabitkan perubahan jadual 32 daripada 73 perkhidmatan tren komuter dengan 12 daripadanya akan bermula dan tamat di Stesen Kajang.

“Pengguna dinasihat untuk mendapatkan pengangkutan alternatif bagi menyambung perjalanan ke destinasi seterusnya,” kata.

Menurutnya, tiada perubahan jadual bagi perkhidmatan tren shuttle Batu Caves - Sentul - Batu Caves untuk peringkat terakhir ini.

Disiarkan pada: February 21, 2019 @ 9:07pm
d