mutakhir

Padah miliki rokok seludup

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

PEMBEKAL rokok dijatuhi hukuman denda RM48,000 di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini kerana memiliki pelbagai rokok seludup bernilai RM4,732 November lalu.

Jika gagal membayar denda Sidek Awang, 48, dari Kampung Losong Atap Zink dekat sini turut berdepan hukuman penjara empat bulan.

Majistret Abdul Hayyi Salim membuat keputusan selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki pelbagai jenama rokok seludup bernilai RM4,732 di meja lipat di Pasar Borong Gong Pauh 7.30 pagi 2 November 2018.

Semua rokok itu adalah barang yang dilarang pengimportannya di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) (Pindaan) 2017.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia Terengganu manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Disiarkan pada: February 21, 2019 @ 9:55pm
d