mutakhir

Dijemput ajal ketika bertugas

Oleh Rosman Shamsudin

INSPEKTOR polis yang mengadu sakit dada, rebah ketika dibawa untuk menerima rawatan di klinik swasta sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Slim River, petang hari ini.

Kejadian 5.45 petang itu berlaku ketika Inspektor Wilson Nohek, 39, yang bertugas sebagai Pegawai Penyiasat Bahagian Antimaksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim terbabit dalam satu operasi di kawasan Slim River.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, ketika kejadian Wilson sedang menjalankan Ops Pintu bersama beberapa anggota lain berdekatan Pasar Raya Econsave, Slim River.

“Kira-kira 10 minit kemudian, pegawai berkenaan yang berasal dari Kuching, Sarawak mengadu sakit dada sebelum terus mendapatkan rawatan di sebuah klinik berhampiran pasar raya itu.

“Pihak klinik kemudian memaklumkan pegawai berkenaan rebah di klinik dan terus dihantar ke hospital sebelum disahkan sudah meninggal dunia akibat serangan jantung,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Wan Kamarul Azran berkata, mendiang yang berkahwin Vivianne Arina Malumpang dikurniakan tiga anak berusia tiga, enam dan tujuh tahun.

Menurutnya, mendiang akan dibawa pulang ke kampung halamannya dan akan dikebumikan di Kampung Bau, Kuching, Sarawak.

Disiarkan pada: February 21, 2019 @ 10:35pm
d