mutakhir

Jumpa mayat terdampar di pantai

Oleh Rafiqah Dahali

MAYAT lelaki dipercayai lemas ditemui terdampar di tepi Pantai Kenangan dekat Bongawan di Papar, semalam.

Mayat dalam keadaan tidak sempurna itu ditemui oleh penduduk kampung berhampiran yang melalui kawasan berkenaan.

Mangsa warga tempatan berusia 49 tahun dipercayai berasal dari Keningau dan kemungkinan sudah mati beberapa hari berdasarkan keadaan mayatnya.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superitendan Batholomew AK Umpit berkata, polis menerima laporan mengenai penemuan mayat itu pada 2.45 petang sebelum menghantar anggota ke lokasi untuk pemeriksaan.

Ketika ditemui katanya, mangsa yang memakai kemeja T dan berseluar pendek warna kelabu dalam keadaan terlentang di tepi pantai berkenaan dengan keadaan fizikal mayat yang kembung.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Papar dengan kenderaan polis untuk bedah siasat bagi mendapatkan laporan kematian daripada pihak hospital.

“Setakat ini, polis tidak memperoleh sebarang maklumat mengenai kehilangan ahli keluarga atau waris mangsa.

“Kita sedang berusaha untuk menjejaki ahli keluarganya atau waris terdekat yang dipercayai berasal dari Keningau,” katanya sambil menambah kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Disiarkan pada: February 22, 2019 @ 8:49am
d