mutakhir

Kantoi seludup tong gas

Oleh Abdul Rahemang Taiming

PASUKAN Polis Marin (PPM) menahan dua lelaki yang cuba membawa keluar tong gas petroleum cecair (LPG) dalam tangkapan berasingan menerusi Op Gelora di Tawau, semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, tangkapan dibuat masing-masing di kawasan Pelabuhan CIQ dan Pasar Tawau pada 7 pagi dan 3 petang.

Katanya, tangkapan pertama membabitkan lelaki tempatan berusia 37 tahun, susulan pemeriksaan ke atas van di Pelabuhan CIQ yang membawa enam unit tong gas 14 kilogram (kg) jenama MyGaz.

“Tangkapan kedua pula membabitkan sebuah bot dikendalikan lelaki tempatan berumur 44 tahun yang membawa empat unit tong gas 14 kg jenama PETRONAS.

“Kedua-dua suspek masing-masing gagal mengemukakan sebarang dokumen atau permit serta sijil kebenaran membawa barang kawalan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, siasatan awal mendapati kesemua tong gas LPG itu disyaki cuba diseludup keluar melalui Pulau Sebatik sebelum dijual di Indonesia.

Katanya, nilai keseluruhan rampasan termasuk van dan bot serta enjin sangkut dianggarkan berjumlah RM29,800.

“Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Disiarkan pada: February 22, 2019 @ 9:06am
d