mutakhir

Sejam terperangkap

Oleh Melvin Joni

KANAK-KANAK tadika terperangkap hampir sejam dalam kereta disebabkan kelalaian wanita, dipercayai penjaganya, yang bersembang dengan rakannya di luar kereta dalam kejadian di Kuching, hari ini..

Sebaik menyedari kanak-kanak berusia dua tahun itu terperangkap, wanita berkenaan cuba membuka pintu kereta, namun gagal sebelum menghubungi talian kecemasan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba dan Penyelamat Sarawak memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada wanita berkenaan pada 7.44 pagi tadi memohon bantuan mengeluarkan kanak-kanak berkenaan.

“Wanita itu dikatakan hendak menghantar kanak-kanak terbabit ke tadika berdekatan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Green Road, namun apabila dia keluar dari kenderaan dan berbual dengan kawan, pintu kereta tiba-tiba berkunci secara automatik menyebabkan kanak-kanak terbabit terkunci dari dalam,” katanya.

Katanya, bertindak atas maklumat itu, lapan anggota bomba dikejarkan ke lokasi kejadian untuk menghulurkan bantuan.

“Anggota bertugas cuba membuka pintu kereta berkenaan secara manual, namun gagal.

“Atas persetujuan wanita berkenaan, mereka terpaksa memecahkan tingkap bahagian tengah kereta terbabit untuk membuka pintu dan berjaya mengeluarkan kanak-kanak itu,” katanya

Disiarkan pada: February 22, 2019 @ 1:16pm
d