mutakhir

Pendidikan seks sukatan pelajaran penting

Oleh BERNAMA

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) menggesa pihak sekolah tidak mengambil mudah terhadap pendidikan seks dalam usaha menangani jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Timbalan Menteri Pelajaran, Teo Nie Ching berkata, pada masa ini pendidikan seks diajar di peringkat pra sekolah sehingga sekolah menengah sebagai salah satu sukatan pelajaran di bawah Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan (PJPK).

“Negara ini menjadi kawasan panas untuk jenayah seksual terhadap kanak-kanak, jadi kita perlu mengajar anak-anak kita bagaimana mencegahnya.

“Jadi saya berharap, pihak sekolah tidak akan menganggap PJPK sebagai satu mata pelajaran tidak penting dan menggantikannya dengan kelas Matematik atau Bahasa Inggeris. Tolonglah jangan berbuat demikian,” katanya ketika lawatan kerja ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Subramaniya Barathee di Gelugor, Georgetown, hari ini.

Teo berkata, pendidikan seks adalah satu subjek yang agak sensitif dan sebab itulah ianya tidak dinamakan dalam subjek di sekolah tetapi diletakkan sebagai sebahagian sukatan pelajaran PJPK.

Katanya, kerajaan memandang serius mengenai perkara ini dan bulan lalu, satu pertemuan bersama Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeo; Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan beberapa wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diadakan bagi melihat kaedah memperbaharui sukatan pelajarannya.

“Anak-anak kita hari ini mendapat maklumat daripada media sosial, Youtube, jadi amat penting sekolah mengajar pelajar perkara betul dengan maklumat terkini,” katanya.

Katanya, pada masa ini, kanak-kanak pra sekolah diajar bagaimana untuk berkata ‘tidak’ dan membezakan antara sentuhan selamat dan tidak selamat.

“Kaedah pengajaran bagi sekolah menengah adalah lebih rumit dan pihak sekolah digalakkan mengasingkan antara pelajar lelaki dan wanita kepada dua kumpulan supaya mereka dapat membincangkan mengenai topik ini dengan mudah.

“Bagaimanapun, sokongan ibu bapa diperlukan dalam perkara ini bagi memastikan anak mereka lebih faham mengenai perkara itu.

“Sukatan pelajaran dan bahan pengajaran mengenai subjek ini akan disediakan untuk semua ibu bapa dan mereka digalakkan untuk manfaatkannya juga,” katanya.

Disiarkan pada: February 22, 2019 @ 4:01pm
d