mutakhir

Hutang negara masih trilion ringgit

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus dan Mohd Sharul Nazri Mohd Zulkifli Chow

KADAR hutang negara sehingga akhir tahun lalu masih di peringkat trilion ringgit, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Katanya, angka itu direkodkan selepas kerajaan berjaya mengurangkan hutang negara daripada jumlah sebelumnya iaitu sebanyak RM1.087 trilion.

Beliau berkata, ia termasuk komitmen liabiliti yang perlu dibayar oleh negara sebagai penjamin.

“Kita lihat di bawah definisi rasmi Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) , jika kerajaan sebagai peminjam langsung, kita terpaksa membayar kerana negara adalah penjamin.

“Ia kerana peminjam utama tidak dapat membayar, contohnya dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kerajaan berjaya mengurangkan jumlah hutang berkenaan tetapi ia masih di peringkat trilion ringgit.

“Apa pun biar saya dapatkan butiran lanjut terlebih dahulu,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Novosi Projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT 3) antara Syarikat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB), George Kent Sdn Bhd (MRCBGK) dan sembilan syarikat Kontraktor Pakej Kerja.

Hadir sama, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad; Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana, Datuk Mohamed Hazlan Mohamed Hussain; Pengarah George Kent, Datuk Keizrul Abdullah; Pengarah Urusan Kumpulan MRCB, Mohd Imran Mohamad Salim dan Pengerusi MRCBGK, Datuk Seri Ir Dr Judin Abdul Karim.

Pada Mei tahun lalu, Guan Eng dipetik berkata, jumlah hutang Kerajaan Persekutuan dan liabiliti berjumlah RM1.087 trilion atau 80.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setakat 31 Disember 2017.

Beliau dipetik berkata, daripada jumlah itu hutang kerajaan Persekutuan berjumlah RM885.9 bilion, yang mana ia merangkumi hutang rasmi Kerajaan Persekutuan RM686.8 bilion atau 50.8 peratus daripada KDNK dan Jaminan Kerajaan RM199.1 bilion atau 14.6 daripada peratus KDNK.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai ‘pengumuman gembira’ berkaitan kutipan tol lebuh raya seperti diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri yang juga Timbalan Presiden Pakatan Harapan (PH), Tan Sri Muhyiddin Yassin, Guan Eng berkata, semua pihak perlu menunggu pengumuman rasmi daripada kerajaan.

“Saya umum ke? Adakah saya umum? Tunggu masa itulah siapa umum. Sekarang saya tidak boleh cakap apa-apa …tolong tunggu hingga waktunya (pengumuman rasmi dilakukan).

“Saya yakin ada pengumuman yang akan dibuat untuk menjelaskan perkara ini tapi sehingga waktu itu, tolong jangan membuat sebarang spekulasi,” katanya

Muhyiddin ketika menyampaikan ceramah sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih di Kampung Batu 26, Beranang, malam tadi berkata, kerajaan dijangka mengumumkan berita gembira berkaitan tol lebuh raya dalam tempoh terdekat.

Disiarkan pada: February 22, 2019 @ 4:19pm
d