mutakhir

TGR gegar Penang hujung minggu ini

Oleh Mohamad Fahd Rahmat

ESOK dan Ahad akan menyaksikan Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang menjadi tumpuan Festival Automotif Toyota Gazoo Racing (TGR) dan perlumbaan jalanan pusingan ketiga Toyota Vios Challenge Musim Kedua.

Festival turut menghidangkan aktiviti seperti pameran model kenderaan baru Toyota, penampilan selebriti terkemuka, perhimpunan kelab kereta Toyota, permainan untuk keluarga selain konsert mini selain festival makanan jalanan.

Seterusnya, aksi perlumbaan dalam litar sepanjang 1.56 kilometer di perkarangan stadium pula membabitkan 11 selekoh dan enam laluan lurus.

Ia menyaksikan 40 pemandu bersaing dalam tiga kelas iaitu Promotional, Sporting dan Super Sporting.

Antara barisan selebriti yang beraksi di litar ialah Diana Danielle, Janna Nick, Nabil Ahmad, Khai Bahar, Akim Ahmad, Mohd Shukri Yahaya, Shawn Lee, Wany Hasrita, Nabila Razali dan Aiman Tino.

Presiden UMW Toyota Motor Sdn Bhd K Ravindran berkata, jika diukur sejak julung kali pihaknya menganjurkan acara itu pada 2017, sambutan di Stadium Batu Kawan amat menggalakkan.

“Kami berbesar hati untuk sekali lagi membawa keriuhan dan kehangatan sama hujung minggu ini ke lokasi sama.

“Memasuki pertengahan musim kedua ini, TGR Festival dan Toyota Vios Challenge memberi peluang kepada orang ramai memahami dengan lebih baik, melihat dan merasai sendiri pembaharuan imej dan falsafah dibawa jenama ini melalui slogan ‘All About The Drive’,” katanya.

Dengan tiga kedudukan podium daripada empat perlumbaan, perhatian akan tertumpu kepada Akim Ahmad dalam kategori Promotional kerana kali pertama artis berkenaan berentap di litar Batu Kawan.

Akim yang ketika ini mendahului sudut pungutan mata mempamerkan prestasi konsisten dalam kategori itu.

“Saya tidak mahu untuk terlalu memikirkannya dan ingin terus fokus pada perlumbaan. Dalam keadaan lumba jalanan seperti ini dengan persaingan cukup sengit dari awal hingga akhir, menamatkan perlumbaan pun sudah menjadi satu pencapaian penting untuk saya,” katanya.

Daripada keseluruhan barisan selebriti yang bersaing dalam kategori ini, Diana Danielle dan Janna Nick mempunyai rekod terbaik di Batu Kawan dengan masing-masing menamatkan perlumbaan di tempat keempat dan kelima ketika perlumbaan musim pertama.

Kelompok ini turut dicabar Nabil Ahmad dan Aiman Tino yang masing-masing pernah meraih gelaran podium.

Pada masa sama, Nabila Razali, Wany Hasrita dan Khai Bahar serta Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor Sdn Bhd, Akio Takeyama masih mengintai peluang untuk memperbaiki kedudukan masing-masing.

Selain itu, orang ramai turut berpeluang menyaksikan persembahan dua pemandu drif profesional dari Jepun dengan jentera Toyota 86.

Bagi mereka yang gemarkan aktiviti sihat, acara ‘fun run’ akan diadakan pada Ahad di litar itu manakala sesi bersama peminat serta persembahan selebriti akan menjadi penutup kepada festival berkenaan.

Disiarkan pada: February 22, 2019 @ 4:48pm
d