mutakhir

Kirim wang tanpa lesen, ejen didenda RM50,000

Oleh Nur Lela Zulkipli

EJEN pengiriman wang didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur, hari ini atas pertuduhan menjalankan perniagaan pengiriman wang tanpa lesen sejak tahun lalu.

Tertuduh, Mohamed Jiyaulhak Anvar Batcha, 36, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Hasbullah Adam.

Tertuduh yang juga bapa anak tiga itu turut berdepan penjara 12 bulan sekiranya gagal membayar jumlah denda itu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sebagai pemilik sebuah perniagaan milikan tunggal Anver Cahaya Enterprise menjalankan perniagaan perkhidmatan wang iaitu perniagaan pengiriman wang tanpa lesen yang dikeluarkan di bawah Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 (akta 731).

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kuala Lumpur, antara 18 Disember 2018 hingga 12 Februari lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Subseksyen 4(1) Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Bank Negara Malaysia (BNM), Nigel William Kraal memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh dengan mengambil kira kesalahan yang dilakukan tertuduh amat serius.

“Kesalahan yang dilakukan adalah secara sengaja selain mengambil kira kepentingan awam.

“Kes yang membabitkan aliran keluar wang ke luar negara tidak boleh dipandang ringan kerana ia menimbulkan masalah kepada Bank Negara Malaysia dalam memantau masalah ini,” katanya.

Bagaimanapun, Mohamed Jiyaulhak yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia perlu menanggung keluarga.

“Saya mempunyai tiga anak yang masih bersekolah dan ini adalah kesalahan kali pertama saya. Isteri saya juga tidak bekerja,” katanya.

Disiarkan pada: February 22, 2019 @ 4:55pm
d