mutakhir

'Kami hanya guna kas-kas, itu pun sikit saja'

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

PEMILIK restoran Sultana Nasi Kandar atau lebih popular sebagai Nasi Lambai di Teluk Intan yang diperiksa polis dan Jabatan Kesihatan, Selasa lalu, menafikan premisnya diarahkan tutup oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan pasukan keselamatan itu.

Pemiliknya, Abdul Malik Pakeer Mohamad, 36, berkata dia kecewa apabila ada pihak yang tidak bertanggungjawab bertindak menularkan berita kononnya premisnya menggunakan bahan terlarang dalam masakan tanpa maklumat sahih.

Beliau turut mendakwa pemeriksaan dijalankan tanpa sebarang notis daripada pihak terbabit dan notis untuk menutup premisnya juga tidak dikeluarkan.

“Saya tidak menerima sebarang notis penutupan kedai dan kami boleh beroperasi seperti biasa cuma saya bercuti sehari saja selepas pemeriksaan itu (Rabu) kerana mahu menenangkan diri dan pekerja selain berbincang mengenai perkara itu,” katanya ketika ditemui di premisnya di Jalan Raja, hari ini.

Abdul Malik berkata, tiga pekerjanya termasuk seorang warga Bangladesh dibawa ke balai polis pada Selasa lalu untuk menjalani saringan awal air kencing namun mereka dibebaskan dengan jaminan polis.

“Sudah lama kami berniaga dan saya adalah generasi ketiga menguruskan kedai yang diasaskan datuk sejak 1952. Kami tidak pernah menggunakan sebarang bahan terlarang dalam masakan, malah saya sendiri tidak pernah terfikir berbuat demikian.

“Kami memang menggunakan kas-kas dalam masakan namun hanya dalam kuantiti sedikit dan kas-kas ini juga banyak digunakan dalam masakan India kerana ia dapat menyedapkan serta memekatkan kuah terutamanya masakan kambing dan sotong,” katanya.

Abdul Malik berkata, penggunaan kas-kas dalam masakan tidak diharamkan di negara ini dan ia juga digunakan secara meluas dan penjualannya juga secara terbuka.

“Sebelum ini tidak pernah berlaku seperti ini dan kami hanya menggunakan kas-kas dalam kuantiti yang sedikit saja kerana jika terlebih guna masakan kurang sedap, berbuih dan cepat membeku,” katanya.

Katanya, premisnya bukan saja dikunjungi pelanggan setempat dan orang kenamaan, malah penyanyi terkenal, Jamal Abdillah juga sering datang selain pelanggan dari Singapura.

“Perkara ini memberi kesan kepada nama perniagaan kami dan pelanggan juga agak kurang selepas kejadian itu, malah tiga pekerja turut terkesan terutama tukang masak berusia 76 tahun yang sudah bekerja dengan kami sejak 35 tahun lalu.

“Namun bagi saya apa yang lebih penting adalah untuk membetulkan perkara ini dan pastinya berharap perniagaan kembali seperti asal,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, pihaknya masih menunggu laporan ujian kimia yang dijalankan.

Katanya, restoran berkenaan masih beroperasi seperti biasa dan tidak ada arahan penutupan daripada Kementerian Kesihatan atau pihak lain.

“Tiga pekerja premis berkenaan juga sudah dibebaskan dengan jaminan dan kita juga masih menunggu laporan pakar,” katanya.

Pada Rabu lalu, media melaporkan sebuah kedai makanan diperiksa polis dan Jabatan Kesihatan kerana menerima aduan pelanggan yang mengalami simptom lemah, mengantuk dan khayal selepas makan di premis berkenaan.

Sebelum ini, mesej yang mendakwa seorang anggota polis dan tiga lagi anggota lain ‘sangkut’ saringan awal air kencing selepas makan di sebuah premis di Teluk Intan dan tukang masak premis berkenaan sudah ditahan tular di WhatsApp.

Berita berkaitan

Restoran hidang makanan khayal?

Disiarkan pada: February 22, 2019 @ 5:43pm
d