mutakhir

Dicekup buat kali ke-10

Oleh Ibrahim Isa

TINDAKAN seorang pengedar dadah berlegar-legar di halaman sebuah rumah di Taman Scientex, Kelapa Sawit, Kulai, membawa padah apabila pemeriksaan polis menemui pelbagai jenis dadah bernilai RM6,000, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6.10 petang itu, sepasukan polis melakukan rondaan cegah jenayah sebelum melihat gelagat mencurigakan seorang lelaki.

“Pemeriksaan terhadap lelaki tempatan berusia 41 tahun membawa kepada penemuan satu paket lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat 3.65 gram dan satu paket lutsinar disyaki heroin seberat 3.19 gram.

“Selain itu, pemeriksaan beg pinggang dipakai suspek membawa kepada penemuan sembilan paket plastik lutsinar berisi dadah dipercayai syabu (103.52 gram), satu paket plastik lutsinar mengandungi satu ketulan mampat bahan tumbukan kering disyaki dadah jenis ganja (7.51 gram), satu paket plastik lutsinar berisi dadah dipercayai jenis heroin (16.98 gram) dan satu paket plastik lutsinar mengandungi dadah jenis ganja (3.04 gram).

“Pada masa sama, kami menemui lima pil dipercayai dadah jenis Eramin 5 sebelum membawa suspek pulang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan mempunyai sembilan rekod kesalahan lampau termasuk kes dadah.

Katanya, semua dadah dirampas bernilai RM6,000 mengikut harga pasaran dan boleh digunakan lebih 20 penagih dadah di kawasan sekitar.

“Suspek ditahan reman bermula semalam sehingga 27 Februari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes jenayah diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Disiarkan pada: February 22, 2019 @ 5:48pm
d