mutakhir

'Saya cukup bimbang kes pembunuhan kanak-kanak' - Agong [METROTV]

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan kebimbangan dan dukacita dengan dua kes pembunuhan membabitkan kanak-kanak di Pekan, kebelakangan ini.

Al-Sultan Abdullah bertitah, kes pertama membabitkan pembunuhan kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun di Kampung Tanjung Medang Hilir, awal bulan ini dan kejadian dera sehingga meragut nyawa kanak-kanak lelaki berusia lima tahun di Kampung Batu Balik, dekat Pekan, petang kelmarin, tidak dijangka dan sepatutnya tidak berlaku.

“Selain dadah, kes bunuh yang kerap berlaku sejak kebelakangan ini adalah angkara gejala negatif yang saya cukup bimbang.

“Saya ingatkan semua pihak supaya bukan sahaja mengawasi anak-anak, malah mungkin ibu bapa mengalami tekanan sehingga mengakibatkan kejadian sedemikian berlaku dan berulang,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Bersama Penduduk-penduduk Tanah Kesultanan Daerah Pekan, di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah, di Pekan, hari ini.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.

Dalam kejadian 9 Februari, mayat seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun, Siti Masitah Ibrahim ditemui di kawasan padang ragut berhampiran Kampung Tanjung Medang Hilir, selepas dilaporkan hilang sejak 30 Januari lalu.

Sementara itu, petang kelmarin, kanak-kanak lelaki lima tahun disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Klinik Kesihatan Padang Rumbia, dipercayai akibat didera bapa tiri mangsa.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah dalam titahnya turut memaklumkan penubuhan jawatankuasa tadbir urus Tanah Kesultanan Daerah Pekan bagi membincangkan dan mencari jalan membangunkan kawasan terbabit.

Titah baginda, ahli jawatankuasa (AJK) itu terdiri daripada ketua jabatan di peringkat daerah seperti pejabat daerah dan tanah Pekan; Majlis Daerah Pekan; Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP); Pejabat Agama Islam Daerah Pekan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Jawatankuasa ini akan memberikan idea dan pandangan kepada saya dalam melaksanakan penjenamaan semula terhadap kampung-kampung tradisi, selari dengan perkembangan semasa.

“Saya berharap pembaharuan ini dapat diterima ramai dan memberi manfaat kepada rakyat jelata. Ini juga adalah bagi memberi identiti baharu kepada daerah Pekan yang terkenal sebagai Bandar Diraja,” titah baginda.

Disiarkan pada: February 22, 2019 @ 6:00pm
d