mutakhir

16 rakyat Malaysia ditahan di Palembang

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

KEMENTERIAN Luar mengesahkan 16 rakyat Malaysia kini ditahan pihak berkuasa Indonesia atas dakwaan menyalahgunakan visa sosial ke negara berkenaan.

Menerusi kenyataan Kementerian Luar, mereka ditahan 9 Januari lalu di Palembang, Sumatera Selatan.

Katanya, berikutan itu pada 18 Febuari lalu, Menteri Luar Negeri Datuk Saifuddin Abdullah mengutuskan surat kepada rakan sejawatnya, Retno L P Marsudi untuk memberi perhatian kepada isu kebajikan serta kesihatan tahanan.

“Selain itu, surat berkenaan meminta supaya mempercepatkan proses perundangan kepada mereka yang terbabit.

“Sehubungan itu, Konsul Jeneral Malaysia di Medan akan mengadakan satu lagi lawatan konsular dalam masa terdekat untuk mengadakan perbincangan dengan pihak Pendakwa Raya dan Pengadilan Palembang bagi memudah dan mempercepatkan proses perundangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut kenyataan itu, sebelum itu Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Medan sudah mengadakan lawatan konsular sebanyak tiga kali iaitu pada 16 dan 21 Januari serta 14 Februari bagi memastikan aspek kebajikan, keperluan asas dan kemudahan perubatan kepada tahanan sentiasa terpelihara.

“Kementerian Luar sentiasa berusaha memastikan kebajikan warga Malaysia yang ditahan di luar negara sentiasa diberi keutamaan.

“Rakyat Malaysia diingatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan imigresen negara yang akan mereka lawati dengan memohon visa bersesuaian dengan tujuan lawatan.

“Kerajaan sentiasa menghormati perundangan Indonesia dan tidak akan campur tangan di dalam urusan perundangan serta menghargai segala kerjasama yang diberikan oleh kerajaan negara itu dalam memudahkan urusan konsular kepada semua tahanan,” katanya.

Disiarkan pada: February 22, 2019 @ 9:08pm
d