mutakhir

Maut motosikal bergesel dengan basikal

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

KAKITANGAN Majlis Perbandaran Manjung (MPM) maut selepas motosikal ditungganginya bergesel dengan basikal di Kilometer 15 Jalan Ipoh - Lumut, Ayer Tawar, Seri Manjung hari ini.

Kejadian 7.20 pagi itu menyebabkan Muhammad Mustaqim Ismail, 23, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, mangsa menunggang motosikal Honda EX5 dari arah Ipoh menghala ke Lumut.

Menurutnya, motosikal mangsa dipercayai bergesel dengan basikal dipercayai ditunggangi seorang lelaki yang identitinya masih belum dikenal pasti dari arah sama yang berada di hadapan laluannya.

“Akibat kejadian itu, penunggang motosikal terbabas ke tepi jalan dan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya hari ini.

Katanya, penunggang basikal terbabit tidak cedera namun menghilangkan diri dan meninggalkan basikalnya selepas kemalangan berlaku.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Disiarkan pada: February 22, 2019 @ 9:18pm
d