mutakhir

Mekanisme tangani isu pemerdagangan seks kanak-kanak dikaji

Oleh BERNAMA

KEMENTERIAN Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang mengkaji mekanisme terbaik dalam menangani isu pemerdagangan seks kanak-kanak.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan memandang berat isu berkenaan, dan turut bersama dengan negara jiran untuk memerangi penularan kegiatan sumbang itu.

“Perincian lebih teliti akan dilakukan bagi memastikan negara tidak menjadi destinasi pemerdagangan seks kanak-kanak seperti dihadapi negara jiran lain.

“Kerajaan akan memperketatkan apa sahaja peraturan bagi memelihara anak kita daripada menjadi mangsa seks,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Balakong 2019, Selangor hari ini.

Majlis itu dihadiri lebih 2,000 tetamu.

Sebuah portal berita sebelum ini melaporkan Malaysia semakin menjadi sasaran sindiket pemerdagangan seks kanak-kanak berikutan negara jiran seperti Thailand, Kemboja dan Filipina mengambil tindakan tegas terhadap kegiatan itu.

Menurut laporan yang memetik seorang aktivis kumpulan hak asasi manusia itu, sindiket terbabit juga banyak mensasarkan kanak-kanak lelaki di kawasan Bukit Bintang, Brickfields, Pasar Seni dan Ampang di ibu negara.

Disiarkan pada: February 22, 2019 @ 11:45pm
d