mutakhir

Bayi koma selepas diserang sawan

Oleh Zuliaty Zulkiffli

BAYI lelaki berusia 17 bulan koma dan berada dalam keadaan kritikal selepas didakwa diserang sawan ketika berada di rumah pengasuh di sebuah taman perumahan di bandar Alor Setar, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, pihaknya menerima laporan polis dari pegawai perubatan Jabatan Kecemasan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) jam 7.45 malam berkaitan mangsa yang dalam keadaan separa sedar dengan bantuan pernafasan.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati mangsa dihantar ibunya pada jam 7.45 pagi di rumah pengasuh dalam keadaan sihat.

“Namun pada waktu petang, ibu mangsa menerima panggilan daripada pengasuh mengatakan anaknya diserang sawan.

“Bagaimanapun, hasil pemeriksaan doktor mendapati terdapat pendarahan dalam otak mangsa yang kini berada dalam keadaan koma dan kritikal," katanya.

Mohd Rozi berkata, mangsa akan dirujuk ke pakar bedah untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata, ibu mangsa memaklumkan anaknya pernah terjatuh di rumahnya hingga terdapat kecederaan lebam pada dahi.

"Namun mangsa tidak dibawa ke mana-mana pusat perubatan untuk mendapatkan rawatan sehingga mangsa dibawa ke hospital Rabu lalu.

"Terdapat kesan lebam pada dahi mangsa dan ibunya mendakwa mangsa pernah diserang sawan sebelum ini," katanya.

Mohd Rozi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Disiarkan pada: February 23, 2019 @ 9:11am
d