mutakhir

Aduan tinggi, babi hutan diburu

Oleh Nur Saliawati Salberi

KERAJAAN Melaka mengambil langkah drastik memburu babi hutan bagi menjaga keselamatan penduduk khususnya di kawasan kampung yang menjadi habitat haiwan liar itu.

Langkah itu diambil susulan jumlah aduan yang tinggi diterima setiap minggu.

EXCO Pertanian, Pembangunan Usahawan, Industri Asas Tani dan Koperasi negeri Norhizam Hassan Baktee berkata, berdasarkan laporan diterima, beliau bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) mengadakan operasi menembak babi hutan.

Beliau berkata, antara aduan diterima pihaknya daripada penduduk di Sebatu, terdapat kira-kira 100 babi hutan di kawasan itu yang membimbangkan mereka.

“Sebagai langkah pencegahan daripada berlaku sesuatu perkara tidak diingini dalam kalangan penduduk kita meneruskan operasi menembak babi hutan ini.

“Operasi kali ini membabitkan tiga kawasan iaitu di Sebatu, Padang Temu dan Seri Bendahara dan hasilnya tiga babi berjaya ditembak PERHILITAN,” katanya.

Beliau berkata, selain PERHILITAN operasi itu turut membabitkan penembak berlesen serta penduduk kampung.

Sementara itu, Pengarah PERHILITAN negeri, Noor Zakiah Hanum Mohd Noh berkata, selain operasi menembak pihaknya juga ada memasang perangkap di kawasan yang dikenal pasti.

“Perangkap yang kita ada jumlahnya amat terhad dan diletakkan di kawasan tertentu saja.

“Apabila mengguna cara perangkap, setiap satu hanya boleh memuatkan seekor babi hutan dalam satu masa,” katanya.

Disiarkan pada: February 23, 2019 @ 5:06pm
d